August 11, 2011

Sedangkan pantai berubah, inikan pula manusia!

Suasana tika itu sunyi sepi, semua penghuni asrama telah nyenyak tidur dan sudah lama dibuai mimpi. Namun tiba-tiba kedengaran satu suara merintis dan menangis tersedu-sedu. Di dalam kesamaran lampu koridor, kelihatan satu susuk tubuh yang berpakaian serba putih sedang sujud menghadap ke arah loker di salah satu dorm di aras dua itu.

Begitulah yang dilakukannya setiap malam, hanya mampu merintih sendirian kepada Yang Maha Esa. Setiap hari, selepas semua tidur dia bangun mengadu kepada kekasih hatinya. Hanya kepada kekasih hatinya itu dia mampu meluahkan semua isi hatinya. Gadis itu setiap hari terluka dek kerana sikap pelajar-pelajar lelaki yang suka mengejeknya setiap hari. Bukan sehari dua, tapi sudah 5 tahun dia menahan perasaan ini.

Memang, bila di lihat secara luaran, gadis itu nampak seperti kuat, tak gentar dek ejekkan dan seperti tak punya hati. Namun, sebenarnya, dia seorang yang sangat lemah. Dia berpura-pura dihadapan manusia lain mempamerkan yang dia sangat tabah, kuat dan bukan seorang yang mudah dibuli. Tapi, di saat manusia lain nyenyak tidur, akhirnya sifat lemahnya itu kelihatan jua dengan hadirnya titisan air mata yang jatuh di pipinya.

"Wey gemuk bau longkang!"

Kedengaran satu suara menyapa telinganya saat dia menjejakkan kaki masuk ke dalam kelasnya. Dia hanya diam, tetapi sahabat disisinya bersuara dan memarahi rakan sekelas mereka itu. Dia terus ke tempatnya yang terletak di kanan kelas. Di telinganya masih terdengar sisa-sisa ejekkan tadi. Cuma kali ini mereka hanya bercakap sesama mereka.

Setiap apa yang rakan sekelas dia lakukan mengundang rasa amarah sahabatnya. Namun, mereka hanya berdiam kerana mereka juga akan dikutuk teruk jika membela dia lebih-lebih. Pernah ada sahabatnya yang menangis kerana tidak tahan dengan ejekkan daripada mereka itu terhadapnya.

Apa yang dia mampu buat? Jika melawan, dia akan kena lagi teruk, jika berdiam, tetap kena juga. Kadang-kadang dia melawan, kadang-ladang dia berdiam diri. Ikut keadaan, dia juga seorang yang panas baran, jika dia rasa mau melenting, dia akan melawan, tapi berlawan mulut tak akan pernah selesai. Dan akhirnya dia juga yang akan kalah. Mana taknya, dia seorang, mereka ramai.

Pernah satu ketika, si gadis hendak keluar ke bandar, dan dia ke kelas dengan siap berpakaian untuk keluar pada hari itu. Seorang lelaki datang ke arahnya,

" Woi, tengok ni, Si Gemuk pakai make up!!"

Yang lain menyambut kata-kata tersebut dengan hilai tawa. Lalu datang pula seorang lelaki di hadapannya,

"Hang ni, kalau make up macam mana pun, tetap buruk tau dak, macam badak yang di make up! Huduh!"

Setakat mana sajalah yang dia dapat melawan kata-kata mereka. Akhirnya, dia hanya ke tempat duduknya dan berdiam diri. Dicapainya tisu dan dia menyapukan bibirnya yang dipakaikan lips balm sebelum keluar dari dorm tadi. Hari ini, hatinya terguris lagi. Esok apa lagilah yang akan dilemparan kepadanya.

Setiap kali keluarganya datang melawat, dia mengadu hal tersebut. Namun, keluarganya menasihati dirinya agar bersabar.

"Biaq la orang nak kata apa pun, belajaq rajin-rajin".

Sampai satu ketika, dia sudah malas untuk bercerita, memang andai diceritakan kepada orang dewasa, mereka akan memandang hal tersebut remeh saja. Tapi bagi dia, dia sudah letih, jiwa bagai nak gila, hati pula sudah hancur luluh. Siapa yang mahu diri dipanggil, dikata, dikutuk dengan perkataan-perkataan yang tidak disukai? Siapa? Ada ka?

Macam-macam akal mereka untuk kenakan dia. Pernah suatu hari ketika cuti ada yang menghantar mesej. Orang itu menyamar diri mengatakan dirinya sahabat perempuan kelasnya. Dia percaya, kerana sahabatnya itu baik, orang itu ada agenda tertentu. Disuruhnya dia menyenaraikan lelaki batchnya yang paling kacak. Mulanya dirinya terasa pelik, tapi dia menyenaraikan juga dengan disertai satu ayat, "kacak tak semestinya baik".

Seminggu selepas cuti, heboh yang ada orang menyamar dan mengganggu pelajar perempuan yang lain. Baru dia teringat hal tersebut lalu dia bergegas ke bilik sahabat perempuan kelasnya itu.

"Hang tukaq no baru ka?"

"Dak ah".

"Cuti ari tu ada no mesej kata hang".

"Yaka? Dak ah, tak guna pun telepon masa cuti hari tu".

Zaman dia ketika itu, telefon bimbit jarang digunakan, jadi tak hairanlah jika ada diantara mereka hanya berhubung di sekolah saja.

Malam itu, ketika dia ke kelas, dia di kutuk teruk. Heboh satu batch mengatakan dia minat kat orang yang disenaraikan pada cuti yang lalu. Betul kata orang, khabar angin kadang-kadang ditokok tambah. Hal itu mengambil masa sebulan untuk reda. Dan dalam tempoh masa sebulan itu, dirinya akan di panggil top 10 setiap kali ada yang berselisih dengannya.

Saat itu hatinya sudah beku, telinganya telah tuli, mulutnya telah bisu, untuk mendengar mahupun untuk membalas, sudah dia tak mampu. Dia hanya menahan saja perasaan. Biarlah apa pun yang mereka nak kata, biarlah apa pun yang mereka nak buat, dia sudah lali.

Satu kes lagi, seorang lelaki, juga yang mengatakan dirinya badak huduh yang bermake up satu ketika dulu menghantar mesej kepadanya pada cuti di bulan Ramadhan. Macam-macam lelaki itu kata.

"Gemuk, gemuk, gemuk, gemuk, gemuk",

"Kalau aku gemuk pun, ada aku kacau hang. Ada aku ambik lemak hang 10 kilo ka, 20 kilo ka, 30 kilo ka, tak dak kan?"

Begitulah yang dia mampu balas. Memang, dia juga ada keluarkan kata-kata kesat. Kerana dia memang bukan seorang gadis yang cantik, gadis yang hodoh sepertinya tidak akan dipandang walaupun lemah lembut macam mana sekali pun. Jadi biarlah mereka pandang dia sebagai perangai buruk. Seperti mereka juga kan!

Masa berlalu, dia semakin dewasa, kini dia sudah melangkah ke alam yang baru. Di tempat baru, selalunya apabila ingin memperkenalkan diri, dia dikehendaki memberitahu nama sekolah lamanya. Berat mulutnya untuk melafaskan nama sekolahnya dahulu. Dia lihat rakan-rakan yang lain ceria dan gembira memberitahu nama sekolah lama mereka. Tapi dia, sisa luka masih dalam tersemat di hatinya.

Saat itu, dia berjanji, dia akan membenci manusia yang bernama "LELAKI". Jadi, dia akan berperwatakkan tidak mesra dengan mana-mana lelaki di dalam kelasnya. Ada yang mengadu sikapnya terlalu dingin, ada pula yang berkata dia terlalu garang. Dia berkelakuan sebegitu kerana perasaan takut menyelubungi diri. Lelakilah yang membuatkan dia menderita dulu, lelaki jugalah yang membuatkan zaman persekolahannya seperti neraka.

Setahun berlalu, maka tamat sudah sesi itu, dan dia akan meneruskan langkahnya ke alam seterusnya. Namun, sesuatu telah berlaku, dia gagal dan dia perlu mengulang semula. Saat itu kecewa menyelubungi dirinya. Dia menangis hiba, ujian apakah ini yang harus ditembuhinya setelah lautan duri telah ditempuhnya.

Rupa-rupanya, kegagalan memberi hikmah buat dirinya. Saat itu, perasaan benci kepada lelaki cair bak ais di bawah matahari. Sepanjang setahun dia mengulang, dirinya terisi. Tak guna membenci yang lain hanya kerana orang lain, itulah perkara baru yang dia sedar. Tempoh masa satu tahun tersebut mengubah dirinya, dia sudah makin kuat, makin punya ramai teman, sahabat dan kehidupan yang sangat bahagia.

Dan akhirnya, dia menjejakkan kaki ke mahligai gading setelah menyusuri lembah berliku dan hutan belantara. Di sana, dia punyai teman yang sangat ramai dan di sana jugalah titik perubahan buat dirinya untuk peringkat seterusnya. Indahnya jika ada seorang sahabat yang setiap kata-katanya membuatkan diri sentiasa ingat akan ALLAH. Indah juga jika punya sahabat yang sentiasa mengajak ke arah kebaikkan. Dan amat indah jika berada dalam persekitaran yang penuh dengan orang-orang yang soleh.

Benar, kata-kata "sedangkan pantai lagi berubah, inikan pula manusia" itu. Dia amat setuju, namun dia sendiri yang leka berubah langsung tidak kisahkan hal yang lain. Di hatinya, dendam dulu tetap ada, luka dulu tetap ada, benci dulu tetap ada. Kadang-kadang dia rasa sakit, yalah, saat terkenangkan kenangan lama, walaupun ada yang indah, tapi yang buruk akan tetap mengatasi yang indah.

Saat dia tersedar, dia rasakan dirinya masih sakit dengan kenangan lalu. Walaupun perkara tersebut sudah dilupakan oleh mereka-mereka itu. Tapi mengapa dia masih rasakan kesakitan itu? Akhirnya muncul satu jawapan, kesakitan itu masih ada dengan adanya rasa benci, rasa dendam dan juga kerana dia tak pernah memaafkan mereka semua di atas apa yang mereka lakukan pada dirinya. Ya!!!! 4 tahun dia simpan beban itu. Apa puncanya? Marah? Dendam?

Musuh-musuhnya dulu juga layak berubah, mereka juga manusia. Mereka juga hamba ALLAH. Andai dirinya diberi cahaya oleh ALLAH, inikan pula mereka. Saat itu, berguguran air matanya. Sedangkan ALLAH ampunkan hambaNYA, inikan pula dirinya. Layakkah dia untuk tidak memaafkan mereka semua, sedangkan dia hanya hamba yang hina. Lalu ditadahkan tangan, mengucap kesyukuran di atas pengajaran yang ALLAH berikan pada dirinya. Memaafkan itu lebih berharga daripada mendendami.

Dan kini, dengan rahmat ALLAH, dia rasa cukup tenang. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Wallahulam


~Berikanlah kemaafan, kerana ianya cukup berharga.
~Baik dibalas baik, kejahatan juga dibalas dengan kebaikkan.
~Buat baik kerana ALLAH tanpa mengharapkan balasan kecuali keredhaan ALLAH.
~Berikan kasih sayang kepada yang melakukan kejahatan.
~Kejahatan boleh menjadi saluran mendekatkan diri kepada ALLAH apabila dibalas dengan kebaikkan.
p/s; kalau tak silap ayat-ayat di atas ni dari buku "Satu Rasa Dua Hati, Pahrol Mohd Juol, Geleri Ilmu"..... Kalau tak silap la, sebab baca kat perpustakaan.p/s; buli mental bahaya, boleh buat mangsa ambil tindakkan bunuh diri!!!
p/s; entri KeretaMayat kali ni sangat best!! "Kenapa hati gelisah?"

"Bagi aku, apa yang aku faham, bila hati kita rasa gelisah, itu tandanya hidayat nak datang ke dalam diri engkau, hidayat ni bila nak bertakhta dalam hati kita, dia tak boleh masuk terus ke dalam hati yang ada banyak penyakit hati, hati yang ada cinta dunia, hati yang yakin dengan makhluk, maka masa tu hidayat ‘berperang’ dengan penyakit hati yang buat kau jadi gelisah.., aku selalu gak baca cerita kisah orang kapir yang bila nak dapat hidayat, akan datang kegelisahan dalam diri, Nabi kitapun bila nak dapat wahyu, badan berpeluh, hati jadi takut, lalu isterinya meyelimutnya…,"

;. antara ayat dari entri tu yang sangat menyentuh Qalbu.

5 comments:

GR said...

berilah kemaafan, walau buruk mana kesalahan. sedangkan Allah mengampunkan hamba, sedangkan nabi mengampunkan umat, inikan pula kita manusia biasa.

entri yang baik. terima kasih kerana menulis entri seperti ini :)

cik kompas said...

sekadar perkongsian..

coretan pelangi said...

che nad, dri segi penulisan hg ni kan....aku tengok hg makin matang...aku rase penulisan tu seperti 'ikhlas' dri penulisnya...

Lia Irdelia said...

i'll tag u here.. :)

http://i-irdelia-memylife.blogspot.com/2011/08/contest-aku-berpuisi-gema-memanggil-aku.html

cik kompas said...

jie;entahlah aku pun xtau matang ka dak diri aku ni.mungkin tulisan aku ja kot.aku sama ja.hahaha...

Lia-De-Pinky-Leo;terima kasih tag..contest 2 mcm menarik. tp sy mcm x yakin mampu sertai..