Tiba-tiba hari ini aku terasa rindu akan Bobo. Dia aku tinggalkan sejak 3bulan yang lalu di bilik stor blok asrama aku. Rindu yang membuak-buak ini membuatkan aku nak bercerita serba sedikit tentang sejarah Bobo bersama aku dan kisah tabiat aku ketika di alam kanak-kanak yang memberi kesan di alam remaja dan alam dewasa aku.
Ketika aku masih kanak-kanak, aku selalu sunyi. Mana taknya, aku anak bongsu dalam keluarga (tapi hanya 11 tahun aku jadi anak bongsu, sebab lepas 11 tahun aku dapat adik). Beza umur aku dengan 2 orang kakak aku terlalu jauh. Jadi, selalunya ketika itu kedua-dua orang kakak aku suka bermain berdua sahaja, dan aku ditinggalkan. Sepatutnya, aku ada seorang lagi kakak, beza umurnya hanya 2 tahun dari aku, namun dia meninggal setahun sebelum aku dilahirkan. Kalau dia masih ada, mesti aku rapat dengan dia. Tapi Allah lebih sayang akan dia.
Disebabkan aku selalu dibiarkan bermain sendirian, aku dari kecil sudah pandai berimaginasi. Aku selalu mengambil sesuatu barang dan akan bercakap seperti aku ada seorang kawan yang lain. Aku selalu bayangkan ada seorang kawan yang bermain dengan aku. Selain itu, sejak usia aku 8 tahun, aku sudah tidur seorang diri kerana kedua-dua orang kakak aku tinggal di asrama. Jadi, aku selalu takut tidur sendirian. Selalu juga aku berimaginasi tentang hantu yang sedang memerhatikan aku tidur serta aku akan bayangkan rupa hantu tersebut.
Kadang-kadang, jika di hati aku terlintas nama sesuatu hantu, maka dengan secara terus otak aku terus memproses gambaran hantu itu. Dan gambaran itu akan terus menari-nari di mata aku. Ianya mengakibatkan aku berlari ke bilik mak untuk tidur di sana. Namun, mak tak pernah benarkan aku tidur bersamanya. Jadi, aku lebih sanggup tidur di hadapan pintu bilik mak, dari kembali tidur semula di bilik aku. Benda ini berlarutan setiap malam. Kesan dari perkara ini, aku dijangkiti satu penyakit, iaitu somnambulism atau dalam kata lain, sleepwalking. Setiap malam ada saja aksi aku berjalan dalam tidur, bila dipanggil nama aku, aku sedar dan aku akan ke bilik untuk sambung tidur semula.
Hal tersebut berlarutan dan menjadi teruk selepas abah aku meninggal dunia. Ketika itu abah ialah orang yang paling aku sayang. Mungkin aku tak dapat terima kehilangan orang yang aku sayang, jadi setiap malam aku aku berjalan ke pintu untuk mencari abah, mujurlah ketika itu aku agak rendah lagi dan disebabkan aku tak cukup tinggi, aku tak dapat membuka kunci pintu rumah. Setiap malam, apabila mak sedarkan aku, aku sudah berada di hadapan pintu rumah dalam keadaan aku yang tengah cuba untuk membuka kunci pintu rumah.
Mak makin runsing dengan perlakuan aku itu, bermacam-macam yang mak lakukan agar aku tak bangun berjalan ketika tidur. Dan akhirnya, mak telah membuat satu bantal kekabu yang aku paling suka sebagai peneman tidur aku. Jadi, setiap malam dengan adanya bantal tersebut aku sudah jarang-jarang berjalan dalam tidur. Hanya kadang-kadang, saat aku letih atau aku mimpi saja, aku akan berjalan dalam tidur.
Seterusnya aku ceritakan tentang kisah bantal aku itu. Bantal itu merupakan kawan aku yang paling rapat. Aku sayang dia, dan aku tau dia juga sayang aku. Kami selalu main, makan, mandi dan tidur bersama-sama. Setiap malam, dengan adanya dia, aku rasa cukup selamat untuk tidur, dan tiada lagi bayangan-bayangan hantu yang mengganggu aku. Namun, aku dan bantal tersebut dipisahkan setahun kemudian.
"Budak pandai macam Nazirah tak boleh main dengan bantal busuk", kata mak.
Akibat terlalu rindukan bantal itu, aku mula jadikan selimut aku sebagai kawan baru. Aku suka sangat berkawan dengan selimut aku tu. Lagipun, bau selimut tu sedap ja, macam bau aku pun ada juga, sebab tu aku mula berkawan dengan dia. Aku rahsiakan hal itu dari mak sebab aku takut mak akan pisahkan aku dengan dia sama macam mak buat kat aku dengan si bantal dulu.
Akhirnya, mak dapat tau jugak hal itu, tapi itupun selepas beberapa tahun. Lama kan aku dapat simpan hal persahabatan aku dengan si selimut tu. Mak dapat tau hal itu bila aku cuba untuk bawa selimut tersebut ke asrama. Ketika itu aku ditawarkan masuk ke sekolah berasrama penuh, jadi aku menangis teruk apabila mak tak benarkan aku bawa selimut tersebut bersama-sama. Mak belikan aku selimut baru, dan mak bagi alasan selimut tersebut sudah buruk. Mak juga telah mengoyak selimut tersebut agar aku tak menggunakannya lagi. Aku sangat sedih melihat kawan aku dibunuh oleh mak ketika itu.
Akibat kekecewa kali yang kedua, aku sudah tidak punya teman imaginasi lagi. Ditambah dengan usia aku 13 tahun, dan bukan lagi anak bongsu membuatkan aku lupa dengan kawan-kawan imaginasi aku itu. Namun, ketika di asrama aku alami semula ketakutan pada setiap malam seperti dulu. Bayangan-bayangan ngeri sentiasa menjelma. Dan ketika itu, aku sendiri melawan perasaan tersebut tanpa bantuan mana-mana rakan imaginasi aku sebagai peneman untuk tidur. Aku cuba lawan perasaan takut dan cuba katakan yang aku berani tidur, sebabnya satu bilik kan ada sepuluh orang, jadi kuranglah sikit rasa takut itu. Selain itu, cara lain adalah dengan tidur paling awal dari rakan-rakan dalam bilik yang lain.
Di usia aku 14 tahun, aku sudah mula berani dan semua alam imaginasi sudah aku lupakan. Ditambah pula dengan hadirnya insan-insan yang bernama sahabat dalam hidup aku. Tapi sangkaan aku bahawa tabiat buruk aku bersama bantal busuk mahupun selimut busuk hanya setakat itu meleset. Ketika aku berumur 18 tahun, aku mendapat tawaran matrikulasi di Negeri Sembilan. Jauhnya matrik tersebut dari rumah aku, sedangkan aku tak pernah berjauhan dari keluarga.
Dan disitu bermula perkenalan aku dengan Bobo, si bantal peluk bercorak lembu. Dia menjadi kawan baru aku, tapi bukan lagi kawan dalam dunia fantasi, dia cuma menjadi teman aku ketika aku sedih, rindu, takut, marah, kecewa dan mengantuk. Dialah yang menjadi teman aku sejak di Matrikulasi Negeri Sembilan, Matrikulasi Kedah dan kini di Universiti Sultan Zainal Abidin. Walaupun aku sudah ada peneman tidur yang baru, Aki si teddy bear biru, namun setiap malam Bobo jugalah yang aku peluk dan Aki akan aku buang ke bawah katil.
Aku dapat lihat perkara yang lebih kurang sama telah berlaku kepada adik bongsu aku kini. Nak buat macam mana, aku beza umur 11 tahun dengan dia, aku di universiti, mana boleh selalu dengan dia. Tapi alhamdulillah dengan kehadiran anak saudara aku dan juga beberapa ekor kucing peliharaan keluarga aku, dia kini sudah tidak sunyi lagi. Jadi, sebagai pesanan aku buat semua, sila jangan abaikan mana-mana anak, adik ataupun sesiapa pun kanak-kanak yang menggunakan status anak bongsu dan kanak-kanak yang kehilangan orang yang mereka sayangi sejak kecil lagi. Mereka ini amat dahagakan kasih sayang dan perhatian.
Tabiat Bantal Busuk
p/s; kat rumah aku jumpa bantal kekabu baru yang lembut dan comel, aku namakan dia Bibu.
No comments:
Post a Comment