August 27, 2011

# 4 Aku kahwin.

# 1 Aku kahwin.
# 2 Aku kahwin.
# 3 Aku kahwin.

Embun pagi dingin menyambut aku tika itu, hening 1 Ramadhan membuatkan hati menjadi syahdu. Aku kini sudah berjaya menjejakkan kaki di negeri Terengganu demi untuk melarikan diri dari masalah yang membelenggu hati. Jam ketika itu 4.37 pagi, masih awal untuk aku pulang ke kampus. Jadi aku membuka langkah untuk berehat sebentar di Masjid Putih. Aku berjalan sendirian dalam kesuraman lampu-lampu jalan. Hanya beg yang aku bawa menjadi peneman.

Setelah selesai membersihkan diri, aku membuka plastik KFC yang aku beli sebelum bertolak tadi. Aku buka balutan burger yang sudah sejuk dek kerana penghawa dingin di dalam bas selama 8 jam perjalanan aku tadi. Itulah juadah sahur aku yang paling istimewa pada hari yang pertama berpuasa. Menyesal? Sudah tidak guna aku memikirkan hal itu, kerana semuanya telah aku tinggalkan bersama angin yang lalu.

Aku menekan butang on telefon nokia dan sony aku serentak. Kedengaran bunyi nada mesej masuk bertubi-tubi. Aku biarkan seketika, kemudian aku mula melihat satu persatu mesej yang masuk itu. Kebanyakkannya ialah panggilan telefon dari keluarga aku dan ada juga mesej. Aku menatap kosong skrin telefon bimbit aku itu sambil mengeluh perlahan. Beratnya beban yang aku rasa tika itu. Rasa bersalah amat kuat.

Lamunan aku dikejutkan dengan nada dering lagu My Baby You dari Marc Anthony, aku cepat-cepat mencapai telefon aku itu. Nama Maksyg kelihatan di skrin telefon, lalu aku menekan butang off. Seketika kemudian, telefon nokia pula berbunyi, tanpa aku lihat siapa pemanggilnya, aku terus menekan butang merah dan cahaya dari telefon itu terpadam. Cukuplah, aku tak mahu tambahkan rasa kekesalan ini lagi.

Tidak lama kemudian, satu persatu jemaah mula memasuki masjid itu, dan apabila azan subuh berkumandang, hati aku kembali menjadi sayu. Macam mana ni, aku tak kuat, kalau aku tak kuat, kenapalah aku boleh buat keputusan ni. Aku menyapu linangan air mata yang jatuh di pipi lalu menuju ke arah saf untuk menyertai solat subuh secara berjemaah. Usai solat, aku mula mengemas barang-barang yang aku keluarkan tadi.

Aku melangkah keluar meninggalkan perkarangan Masjid Putih itu. Aku hayunkan langkah dengah semangat dan kekuatan yang berbaki. Setibanya aku di stesen bas yang tak jauh dari masjid itu, ada seorang pak cik datang untuk menawarkan keretanya untuk aku naiki. Setelah merunding harga, aku dan dia setuju, lalu dia menolong aku mengangkat beg dan ke keretanya. Di dalam perjalanan, pak cik tersebut ada juga bercakap dengan aku, namun kerana jawapan aku yang ringkas dan acuh tak acuh membuatkan pak cik tersebut mengambil keputusan untuk mendiam diri semula. Aku rasa itulah yang terbaik.

Aku lebih suka mendiamkan diri dan melihat pemandangan di luar tingkap. Rindu aku terubat juga, namun ada sesuatu hal lain yang mengganggu perasaan aku. Aku pejamkan mata seketika, kerana aku takut air mata akan mengalir lagi. Aku tahu, keputusan yang aku buat ini akan melukakan semua orang, tapi hati aku yang terluka tak pernah pula orang ambil kira. Dalam diam, aku sebenarnya turut terluka. Tapi, kerana diam aku itulah, membuatkan orang bertindak terus melukakan aku, kerana mereka tidak pernah tahu bila masa aku luka, sedih, kecewa mahupun gembira.

Lamunan aku dikejutkan dengan suara pak cik kereta itu, rupa-rupanya, aku sudah berada di depan blok aku dulu, Blok J. Aku buka pintu dengan perlahan, beg aku sudah pak cik itu angkat keluar. Aku hulurkan duit tambang, lalu terus mencapai beg dan terus melangkah ke arah blok itu. Tak lama aku berjalan, kerana rumah aku cuma di tingkat satu, aku membuka pintu utama rumah itu, lalu menanggalkan kasut dan berjalan ke kerusi di ruang tamu.

Aku meletakkan beg di situ dan menuju ke bilik J1 25. Aku ketuk beberapa kali, namun tiada sebarang jawapan, namun bila aku menoleh, aku lihat Farhah sudah dibelakangku. Dia dari dapur, aku terus bersalaman dan memeluknya. Saat itu aku menangis lagi, dan kali ini cukup lama dan air mata aku turun dengan cukup laju. Farhah menenangkan aku yang kesedihan, lalu di angkat beg aku dan di pimpin tangan aku kebilik nombor 4. Rupa-rupanya, tempat lama aku sudahpun di isi dengan pelajar baru. Jadi, hanya bilik nombor 4 sahaja yang kosong.

Kami berbual-bual seketika, sambil dia menolong aku mengemas pakaian aku. Dia menghulurkan simkad maxis kepunyaannya yang jarang digunakan.

"Gunalah, senang sikit aku nak contact mu nanti,"

Aku menyambutnya dengan berat hati. Dia mungkin agak terkejut kerana aku sudah tiba. Sebelum ini, dia sudah ingatkan aku supaya menghantar mesej sekiranya sudah sampai. Namun, aku langsung tidak memberi sebarang berita. Dan ketika itu, dia sudah bersiap untuk ke stesen bas untuk mencari aku. Sesudah mengemas, dia menyuruh aku menyegarkan diri dan berehat, dia harus ke kelas pukul 8 nanti. Lalu capai tuala dan aku ke bilik air dan mandi. Seterusnya aku merebahkan diri di atas katil sambil merenung kipas yang ligat berpusing dan akhirnya aku tertidur juga. Letih badan aku itu menanggung semalaman rasa kesedihan.


-----------------------------------------------------------------------------------------


"Che nad, jom dah lambat ni, satgi tak sempat plop nak naik bas",

"Ok, ok.."

Aku berlari dengan bertelekung ke arah Farhah. Dia dan aku menuju ke arah bas yang di sediakan oleh pihak universiti bagi kemudahan pelajar ke masjid untuk menunaikan solat terawih. Kami melangkah menaiki bas yang paling depan sekali, walaupun bas itu sudah agak penuh, tapi yang pastinya ia akan jalan terlebih dahulu.

Sudah seminggu aku di sini, menjalani kehidupan seperti pelajar-pelajar diploma yang lain. Cuma bezanya aku dengan mereka ialah setiap pagi mereka ke kelas, tapi aku, setiap pagi aku ke tempat kerja aku. Ya, aku bekerja. Hidup perlu diteruskan, itu kata Farhah kepada aku. Dan aku mula bekerja pada hari kedua aku tiba. Kerja aku ialah sebagai tukang cuci di Universiti Malaysia Terengganu. Mengapa aku tak cari di universiti sendiri? Nak mampus? Nanti bocor la rahsia aku curi-curi tinggal kat asrama tu.

Setiap pagi, aku akan mengayuh basikal kepunyaan Farhah dan keluar melalui pintu belakang universiti aku. Dalam 15minit saja jaraknya dari UMT. Tugas aku ialah menyapu, mop lantai dan memastikan asrama sentiasa bersih. Tugas aku bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada pukul 4.30 petang, lebih kurang macam waktu pejabat jugak la. Tapi aku tak terus balik ke asrama selepas waktu kerja, sebabnya, aku akan ke tepi pantai belakang UMT untuk menenangkan hati. Menikmati pemadangan yang cukup indah dan mendamaikan.

Aku hanya dapat duduk di situ buat sementara waktu sahaja, kerana kerja aku yang seterusnya sedang menunggu. Kayuhan basikal makin laju, aku menuju pintu pagar utama di hadapan UniSZA dan melalui masjid. Aku terus menghalakan basikal itu ke arah surau Thariq, iaitu surau dihadapan blok J. Tugas aku seterusnya ialah di situ, iaitu mengambil upah menolong Kak Sal menjual juadah di bazar Ramadhan untuk pelajar-pelajar. Mujurlah aku ni bukan orang kenal pun, jadi orang tak perasan pun kehadiran aku tu. Tapi, ada juga segelintir pelajar yang kenal dengan aku. Jadi bila mereka menegur aku, aku akan berpura-pura tengah sibuk dan begitulah seterusnya yang aku lakukan setiap kali ada beberapa orang yang cuba mendekati aku untuk menyoal.

Tepat jam 7 malam, aku pulang ke rumah yang cukup dekat dengan tapak bazar itu. Juadah berbuka aku, sudahpun dibeli oleh Farhah, aku cuma akan membawa pulang baki-baki makanan sampingan dari jualan tadi. Contohnya seperti kek batik, puding, popia dan kuih-kuih yang lain. Ikut rezekilah, kadang-kadang, untung Kak Sal, semuanya habis, jadi aku akan pulang dengan tangan kosonglah. Begitulah yang aku lakukan setiap hari sepanjang 3 minggu di bulan Ramadhan ini.

Kini, hanya tinggal kurang seminggu lagi untuk Farhah bercuti. Aku pening memikirkan ke mana harus aku tuju. Di mana aku nak sambut hari raya?? Farhah datang perlahan-lahan pada suatu malam saat aku tengah termenung di ruang tamu.

"Menung apa tu, jauh sampai ke London doh."

"Tak dak la, saja ja",

"Raya ni jom balik rumah aku, nok?"

"Erm,......"

"Jom la, mung nok gi mane lagi, tak kan nok dok sini ja",

"Tak pala, aku rasa macam nak dok sini saja la, lagipun ramai jugak yang tak balik kan. Aku tengok ramai ja yang pi daftar kat pejabat asrama tu."

"Yola, tapi aku ajak mung balik nim bukannye apa, sebab nak ajak sambut hari raya, hok lain aku tak mboh care doh,"

"Tak pala, biar la aku merasa raya kat sini, bila lagi kan."

"Mung nim, keras pale betol ar, brape kali doh aku dok ajok, dok tak mboh situ ar."

Aku hanya diam dan tersenyum. Farhah, cukuplah, aku dah tak mahu susahkan hang lagi. Biarlah aku kat sini sendiri, aku tak mau hang terbeban lagi. Sudah cukup selama ini hang tolong sembunyikan aku di sini. Aku berbicara di dalam hati sambil memerhati Farhah menyeterika uniform ungu lembutnya. Esok sudah hari Rabu, dan lusa Farhah sudah mula bercuti. Walaupun berpuluh-puluh kali dia memujuk aku untuk pulang bersamanya, akan aku tolak juga. Maafkan aku, sahabat.

No comments: