August 2, 2011

# 3 Aku kahwin.

# 1 Aku kahwin.
# 2 Aku kahwin.

Semalam aku bergaduh teruk dengan mak. Hal itu bermula apabila aku mintak tangguh tarikh perkahwinan aku yang akan berlangsung pada hari Raya keempat nanti. Sudah puas aku berfikir, aku rasa aku masih tak mampu untuk berkahwin, dan aku masih perlu belajar banyak benda lagi. Aku mintak tangguh majlis ke cuti semester hadapan, Julai 2012. Namun, mak langsung tak mau dengar penjelasan dari aku. Mak tak dapat terima semua yang aku cakapkan ketika itu.

Dan alasan utama mengapa aku mengambil keputusan tersebut ialah kerana aku rasa aku tak bersedia untuk menghadapi alam baru itu. Ditambah pula satu perasaan yang kurang enak, iaitu aku rasa diri aku sudah tidak bebas. Buktinya, minggu lepas, ketika aku nak keluar jumpa kawan aku yang dah lama aku tak jumpa, sebabnya dia jarang bercuti, tapi di saat akhir aku terpaksa membatalkan janji tersebut. Mak tak benarkan aku keluar. Hari berikutnya, aku merangka untuk menghadiri satu program, namun ianya tidak berjalan seperti yang aku rancang kerana aku terpaksa mengikuti mak ke rumah kawannya.

Aku seperti anak kecil yang diikat tali di kaki untuk tidak ke mana-mana, hanya duduk diam-diam di rumah. Sebelum ini boleh pulak aku keluar jumpa kawan-kawan aku. Tapi lain pulak jadinya selepas aku menjadi tunangan orang. Aku sudah rasa tidak selamat dengan status aku sekarang sebagai tunangan orang. Mak terlalu mengongkong aku, takut-takut sesuatu yang tak elok berlaku, mungkin. Jadi, setiap kali mak keluar, mak akan pastikan aku ikut bersamanya.

Pergaduhan semalam membuatkan mak mengamuk teruk kerana perangai aku yang biadap melawan cakapnya. Aku dituduh anak tak kenang di untung. Aku hanya terdiam tanpa berkata-kata. Andai aku menjawab, nanti di kata aku kurang ajar kerana berani melawan cakapnya. Akhirnya aku berlalu masuk ke bilik dan menguncikan diri di dalamnya. Aku menangis semahu-mahunya.

"Apa ni, aku tak mau macam ni. Ya Allah, tolonglah hambamu ini", rintih hati aku.

Aku tak mau jadi anak derhaka, ditambah pulak lagi beberapa hari nak masuk bulan Ramadhan. Takkanlah aku nak bermasam muka dengan mak sepanjang hari. Ya ALLAH, berdosanya aku! Macam mana ni, aku buntu memikirkan hal tersebut. Sedang aku melayan perasaan sendiri, kedengaran nada mesej dari telefon nokia aku menandakan ada mesej baru masuk. Aku yang tengah bermalasan di atas katil bangun untuk mencapai telefon aku yang terletak di atas meja,


Salam. che nad,
apa khabar?
tahun ni xleh la
kita nak puasa
sama2 kn!!
(T_T)

Sender:
J12_Farhah
+60139288785

Message centre:
+60193900000

Sent:
29-July-2011
22:17:39

Saat aku baca mesej dari bekas roomate aku itu, aku jadi makin sebak. Dulu, dia tempat aku bercerita, dialah tempat aku bertanya pendapat dan berkongsi rahsia. Kini tengah aku dalam keadaan sedih, dia muncul. Tanpa membuang masa aku pantas menekan namanya untuk membuat panggilan kepadanya. Aku ingin luahkan segalanya pada dia, kerana aku sudah tidak dapat menanggung benda ini seorang diri lagi.

Aku menangis sambil bercerita segalanya pada dia. Dia turut bersimpati dengan apa yang berlaku. Aku luahkan yang aku takut sebenarnya, aku takut untuk menghadapi hari esok. Aku takut mak aku akan tingkatkan lagi sekatan kebebasan aku. Aku takut lepas ni aku tak dibenarkan sambung belajar, mana tau kan, kot-kot la. Semuanya aku luahkan kepada dia. Dan akhirnya, aku setuju dengan satu cadangannya dan aku nekad untuk melakukannya. Esok aku akan lakukan rancangan tersebut dengan rapi agar aku tak gagal. Aku tertidur selepas berbual panjang dengannya.

------------------------------------------------------------------------------------------------
30 Julai 2011

Keesokkannya............

"Mak, tak lama lagi dah nak kena balik U, tiket bas tak beli lagi ni. Kalau lambat takut habis pulak, musim raya kan", lontar aku ketika menolong mak di dapur tengahhari itu.

"Tak pa la, tak payah la hang balik dengan bas kali ni, suruh laki hang pi hantaq, kan hang dah kawin dengan dia masa tu", jawab mak.

"Tapi mak, cheq rasa tak mau nak susahkan dia la. Tak pala, kali ni cheq pi sendiri pun tak pa. Lain kali baru suruh dia pi hantaq, lagipun tadi Amal telefon, dia ajak keluaq esok, nak beli tiket. Kesian kat dia, tak kan dia nak balik sorang-sorang", jawab aku dengan berhati-hati agar hati mak jatuh simpati dengan aku.

"Tapi esok ada kenduri rumah Pah Rasyid, mak tak boleh pi", balas mak.

"Tak pa, cheq suruh abang Faizal pi hantaq kat kepala jalan, pi naik bas pun tak pa", dan saat itu hati aku mula berbunga-bunga.

"Ok, pi la. Balik awai tau! Jangan dok jalan merata-rata pulak", jawab mak lambat-lambat.

"Yes!!!! Akhirnya.........", monolog aku di dalam hati dan seulas senyuman terukir dibibir aku.


Malam itu, aku mulakan operasi seterusnya. Dalam gelap, aku memasukkan barang-barang penting ke dalam beg pakaian yang sederhana besar milik aku. Aku terpaksa minimumkan pakaian yang penting sahaja dan sedikit barang keperluan lain. Aku sudah nekad untuk melarikan diri ke Terengganu, dan balik ke universiti walaupun cuti masih berbaki. Aku nekad dengan keputusan itu. Dan Farhah juga sudah sedia untuk tunggu aku di sana dan akan menolong aku.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

31 Julai 2011

Pagi itu, aku sudah bersiap sedia, aku beritahu abang ipar aku yang aku akan berjalan kaki ke kepala jalan untuk menaiki bas di sana. Aku tak mau dia tahu yang aku bawa beg pakaian bersama, jadi anak saudara aku yang mengantuk aku jadikan alasan supaya abang ipar aku pergi tidurkan anaknya itu dan aku bolehlah berjalan kaki ke sana sendiri. Dia akhirnya akur dengan apa yang aku minta dek kerana anak saudara aku sudah mula merenyek kerana terlalu mengantuk. Halangan kedua sudah aku lepasi.

Selepas dia masuk ke biliknya untuk menidurkan anaknya, aku pantas mencapai beg yang aku sembunyi di dalam bilik lalu bergegas keluar dari rumah. Satu beg pakaian penuh dengan baju aku bawa dengan sebelah tangan manakala sebuah beg galas yang berisi laptop dan barang-barang lain turut sempat aku bawa bersama. Aku mula berjalan dengan kadar yang sangat laju agar cepat sampai ke kepala jalan, destinasi utama aku ketika itu.

10 minit berjalan, akhirnya aku tiba di kepala jalan dan bas juga sampai seketika kemudian. Aku menarik nafas lega apabila sudah berada di dalam bas itu. Seterusnya, aku akan ke Kangar. Aku akan ke stesen bas untuk membeli tiket ke Terengganu, yang pastinya malam ini juga. Aku berdoa moga-moga tiket bas untuk malam ini ada.

Sejam kemudian aku tiba di Kangar, aku ke bank untuk mengeluarkan sedikit wang simpanan untuk perjalanan aku ini serta untuk perbelanjaan nanti. Selepas itu aku ke kaunter tiket bas SP Bumi, satu-satunya syarikat bas yang terbesar untuk perjalanan ke arah pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Syukur alhamdulillah, rezeki aku, hanya tinggal dua tiket yang terakhir. Bas akan bergerak pada pukul 8 malam nanti. Jadi sementara menunggu 8 jam lagi, aku menghayunkan langkah ke KFC, boleh aku lepak-lepak sambil online disitu. Kedua-dua telefon aku matikan sebagai langkah berjaga-jaga. Aku tau, kakak-kakak aku mungkin akan membuat friend finder nanti, jadi aku terlebih dulu mematahkan cubaan mereka.

Selepas solat magrib di surau stesen bas, aku meninjau kalau-kalau bas aku sudah tiba, dan tepat pada masanya apabila aku lihat sebuah bas SP Bumi menuju masuk ke dalam stesen tersebut. Aku berjalan menuju ke arah bas itu, lalu naik ke dalamnya. Dan saat itu aku rasa cukup lega kerana halangan terakhir sudah berjaya aku lepasi. Aku menyandarkan badan di kerusi bas tersebut. Aku lepaskan lelah aku sepanjang hari ini.

Ketika bas mula bergerak, aku meninjau suasana di luar tingkap, kot-kot ada yang datang mencari aku. Namun, tak ada satu kelibat pun yang aku kenal. Aku melarikan diri disaat umat Islam sedang berpusu-pusu ke masjid bagi menunaikan solat tarawih pada malam yang pertama. Sayu aku rasa tika melihat pak cik dan mak cik beriringan menaiki motosikal ke masjid. Tapi, inilah keputusan yang telah aku ambil, aku sudah tak boleh menoleh ke belakang lagi. Bermula sudah pengembaraan hidup aku sebagai seorang pelarian, seorang pengembara tanpa kompas. Adakah aku akan sesat dengan ketiadaan kompas bersama?


p/s: rekaan semata-mata!!!!

2 comments:

munirah tamizi said...

haha...so real!!siyes ingtkan btl td..bole wat novel la pasni che nad!

cik kompas said...

hahaha...tak betoi pun...